CHANGLUN - Changlun adalah sebuah bandar kecil yang terletak kirakira 42 kilometer dari Alor Setar. Ia merupakan daerah kedua terletak berhampiran sempadan Malaysia - Thailand selepas Bukit Kayu Hitam.

Bermula sebagai perkampungan yang kurang mendapat mendapat kemudahan asas, kini Changlun adalah antara daerah yang semakin rancak  dalam proses pembangunannya. Ini adalah disebabkan kedudukannya strategik yang merupakan laluan
utama bagi mereka ke Thailand dan Perlis.

Gajah, kenderaan pengangkut Menurut Ahmad Abas, 112, dari Kampung Bendang Tok Leh, perkataan Changlun adalah berasal daripada bahasa Siam yang bermakna chang (gajah) loon (jatuh) dan disatukan menjadi Changlun.

Difahamkan pada zaman dahulu gajah merupakan kenderaan pengangkutan yang turut digunakan sekitar daerah itu.

Katanya, gajah itu yang sedang mengangkut barang tiba-tiba terjatuh ketika berada di tepi sungai di Kampung Changhai dan peristiwa  itulah menyebabkan Changlun diberi nama hingga kekal pada hari ini.

“Pada mulanya Changlun adalah kawasan yang agak terpinggir kerana ia terletak jauh di utara Kedah, malah kawasan ini turut mengalami perintah berkurung sebanyak dua kali kerana  tindakan ganas komunis yang sentiasa mengancam ketenteraman awam.

“Pada masa itu, jam 6 petang, pekan ini menjadi sunyi kerana penduduk takut untuk keluar apatah lagi pada masa itu belum ada lagi bekalan elektrik disediakan. Bagi penoreh yang mahu pergi menoreh pula hanya dibenarkan membawa air kopi sahaja
dan jika bawa minuman selain itu, pasti akan dirampas tentera,” katanya.

Lebuh raya nadi kemajuan Ahmad berkata, pada masa itu penduduk yang tinggal di Changlun hanya bekerja di sawah, ladang getah dan menebang balak. Pada masa itu, penduduk bukan sahaja berhadapan dengan ancaman komunis tetapi juga dari binatang buas hingga menyebabkan penduduk tidak berani keluar pada waktu malam.

“Bagaimanapun pada 1980- an apabila bermulanya pembinaan Lebuhraya Utara Selatan (Plus) melalui pekan itu, ia telah menjadi nadi pembangunan di kawasan tersebut dan berlakunya kepesatan pembangunan sehinggalah ke hari ini.

“Pembinaan lebuh raya dikatakan telah melonjak nilai hartanah di kawasan itu apabila banyak kediaman serta kawasan industri mula wujud hingga menyebabkan pekan baru Changlun turut dibuka bagi memberi kemudahan kepada penduduknya,” katanya yang merupakan antara penduduk tertua di Changlun.

Kurang aplikasi bahasa Siam Menurut Ahmad, antara keunikan penduduk di Changlun ini ialah mereka mampu mengusai dua bahasa iaitu bahasa Siam dan Melayu. Kedua-dua bahasa itu dahulunya sering digunakan untuk aktiviti harian masyarakat.
Bagaimanapun, pada hari ini generasi sekarang sudah semakin kurang menggunakan bahasa Siam sebagai bualan harian dan mungkin agak malu.

Kini Changlun tidak lagi berada pada zaman hutan belantaranya malah setiap tanah di kawasan itu akan dipenuhi dengan hutan batu akibat proses pembangunan yang pesat hingga beberapa institusi pengajian tinggi turut dibina di situ.

Kepesatan pembangunan di Changlun semakin maju apabila wujudnya pusat pengajian tinggi yang mempopularkan lagi nama CChanglun kepada pelajar luar apabila  mereka datang bagi mengikuti pengajian di situ.


                                   -TAMAT-
Link: http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/dulu-terpinggir-kini-maju-1.290750